Saturday, July 31, 2004

AlFatihah Buat Ayu

Berita pemergiannya dlm tragedi yg begitu menyayat hati dan menggemparkan tanahair pada Isnin 26 Julai 2004 lalu membuat aku tergamam untuk beberapa ketika. Namun kuredha setiap pemergian makhluk di muka bumi ini adalah ketentuan Allah Yang Maha Esa.

Namun aku masih terbayang seorang pelajar perempuan dengan motorsikal Modenas Kris sering hadir menjalankan projek kajian di makmal tempatku bertugas di sekitar akhir 90an. Tempat letak motorsikalnya betul-betul di belakang bilikku di mana makmal Ayu juga berada tidak jauh dari situ. Disebabkan bilikku mempunyai tingkap di tepi dan di belakang, memang aku selalu melihat sesiapa yang melintas untuk ke pintu utama. Ku kira itu sewaktu Ayu dalam pengajian sarjanamuda. Kemudian bila Ayu menjadi pembantu penyelidik dan menjalankan projek Masters, Ayu memakai Wira Aeroback kelabu metalic pula. Ayu seorang gadis seayu wajah dan penampilannya merupakan seorang yang lembut dan manis dengan senyuman ikhlasnya mudah membuat ramai orang suka kepadanya. Namun dia serius dalam melaksanakan tugasnya sebagai seorang penyelidik dan pelajar. Dia juga seorang yang aktif dalam kegiatan seni silat di peringkat negeri dan pernah ke luar negara untuk sukan ini.

Setelah musim-musim berlalu dan terpisah dengan tugas masing-masing aku dikejutkan dengan pemergiannya, aku mula terkenang dan terkilan bila Ayu pernah bergurau dan mengusik minta belanja KFC, Pizza dsbnya. Mungkin krn tak mahu mengambil risiko digosipkan aku tidak membelanjanya dan aku anggap ia sekadar gurauan dan usikan manja dari seorang adik pelajar yang bijak. Walaupun ketika itu aku rasa dia tidak mempunyai teman lelaki istimewa. Kini baru kusedar, apalah sangat dengan sekadar KFC, piza dan sebagainya itu. Sepatutnya aku lebih bersikap terbuka, gentleman dan profesional.

Aku juga masih teringat ada staffku merungut dalam satu situasi kerana Ayu sepatutnya mengemaskan ruang kajiannya setelah satu projeknya selesai. Tapi disebabkan Ayu memohon bantuanku kerana ada urusan penting yang tak dapat dielakkannya, aku meminta staff-staffku membersih dan mengemaskan ruang tersebut. Bukan aku pilih kasih pada mana-mana pelajar tapi aku kena faham sesuatu situasi itu.

Ayu, kini kau telah pergi..senyuman, gurauan dan bicara hormatmu masih terbayang di ingatan. Pemergianmu menyedarkan aku betapa rapuhnya kehidupan di dunia yang fana ini.

Ayu..damailah engkau di sana, di alam abadi dengan rahmatNya. AlFatihah.

No comments: